Warisan Permainan Melayu Menyapa Surabaya

Oleh: Izzul Azzany bin Marzuki Surabaya: Melalui Program Mobiliti Menyelam Budaya, Merentas Nusantara ke Universitas Negeri Surabaya, seramai 8 orang pensyarah dan 10 orang pelajar Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari (KSCTL) telah menyertai program silang budaya dan khidmat masyarakat di SMP Labschool UNESA 3, Surabaya. Program ini merupakan inisiatif untuk memperkenalkan permainan tradisional Melayu kepada pelajar-pelajar terpilih di SMP Labschool UNESA 3. Objektif utama program ini adalah untuk menyemai kesedaran budaya serumpun dan memperkukuh nilai warisan budaya Melayu dalam kalangan pelajar SMP Labschool UNESA 3 dengan cara yang tidak formal agar program ini menyeronokkan dan mampu memberikanmemori yang indah kepada mereka yang terlibat. Menurut Dian Hijrah Saputra, Kepala Sekolah SMP Labschool UNESA 3, pihak sekolahamat berbesar hati dan mengalu-alukan kunjungan pensyarah dan pelajar UIAM Pagoh dalam pelaksanaan program silang budaya untuk memperkenalkan permainan tradisional Melayu. Tambah beliau, pihak sekolah berharap program ini akan menjalinkan hubungan yang lebih akrab antara dua pihak dan berharap agar kerjasama ini tidak terhenti pada hari inisemata-mata, sebaliknya berterusan pada masa akan datang. Seterusnya, terdapat beberapa permainan tradisional telah diperkenalkan kepada pelajar SMP Labschool UNESA 3, iaitu Ceper, Batu Seremban, Lempar Selipar dan Galah Panjang. Permainan ini sering kali dilihat dimainkan oleh masyarakat Melayu khususnya golongan kanak-kanak sewaktu masa lapang. Tambahan pula, permainan yang diperkenalkan ini tampak memberikan impak yang positif kerana disambut baik oleh pelajar sekolah tersebut. Pelajar berminat untuk mempelajari cara bermain yang betul dan bergelak tawa bersama sama kerana keseronokan bermain permainan tersebut. Seorang pelajar UIAM Pagoh menyatakan keterujaannya, “saya berasa sangat gembira kerana dapat memperkenalkan budaya Melayu kepada pelajar di sekolah ini, dan saya lihat mereka amat berminat untuk mengenali budaya Melayu dengan lebih mendalam.” Wakil pelajar UIAM Pagoh membimbing pelajar SMP dalam permainan Ceper, membuka ruang interaksi budaya secara santai dan menyeronokkan. Di samping itu, program ini turut menjadi platform bagi menonjolkan persamaan budaya serumpun antara Malaysia dan Indonesia yang berkongsi akar warisan khususnya dalam permainan rakyat. Program ini wajar untuk diteruskan agar warisan permainan Melayu tidak pupus ditelan zaman, sebaliknya terus hidup dalam diri generasi muda serantau. Program ini juga menjadi titik tolak kepada hubungan kerjasama pendidikan dan budaya antara dua negara yang akrab dan mempunyai persamaan dari segi sejarah, bahasa dan juga identiti. Melalui usaha kecil ini, akar budaya Melayu terus disemai di tanah serumpun,mengukuhkan jati diri dan jalinan Nusantara.

Warisan Permainan Melayu Menyapa Surabaya Read More »