Kulliyyah of Sustainable Tourism and Contemporary Languages

Bukan Sekadar Tragedi : Memartabatkan Bukit Kepong Di Luar Naratif Tragedi

PAGOH, 16 Jan – JomBuKe atau “Jom Mari Bukit Kepong”, sebuah inisiatif berasaskan komuniti yang memfokuskan kepada Mukim Bukit Kepong, telah dianugerahkan Anugerah Emas dan Anugerah Paling Berimpak di Simposium University in Action ke-8 anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pengiktirafan ini diberikan atas usaha murni projek tersebut dalam memperkasakan warisan tempatan, identiti, dan pemprofilan komuniti.

Projek ini menumpukan kepada pemprofilan komuniti Bukit Kepong secara mendalam melalui pendokumentasian struktur sosial, sejarah, sumber pendapatan, dan realiti kehidupan seharian. Langkah ini diambil bagi menghargai kekayaan budaya mukim tersebut yang melangkaui naratif tragedi yang berlaku 76 tahun lalu. Pasukan projek bekerjasama rapat dengan penduduk setempat untuk memahami mukim tersebut sebagai sebuah ruang yang hidup dan berkembang, dibentuk oleh memori, titik peluh, dan pengalaman kolektif.

Susulan kejayaan di simposium tersebut, JoMBuKe kini melangkah ke hadapan dengan dua inisiatif utama bagi memastikan impak jangka panjang dan ketersediaan kepada orang awam:.

Penerbitan Buku Mewah (Coffee Table Book) didedikasikan khas untuk Mukim Bukit Kepong sebagai arkib visual dan naratif. Buku ini menghimpunkan koleksi foto, kisah-kisah menarik, segala maklumat perhubungan perusahaan-perusahaan, pendokumentasian budaya-budaya dan tradisi dan sejarah yang dikumpul sepanjang projek berlangsung. Matlamatnya adalah untuk memelihara warisan tempatan serta memperkenalkan Bukit Kepong sebagai tapak kepentingan budaya dan sejarah kepada khalayak yang lebih luas.

Inisiatif kedua, Bengkel Wikimedia bertujuan melatih peserta dengan kemahiran pendokumentasian Bukit Kepong secara digital melalui platform seperti Wikipedia dan Wikimedia Commons. Usaha ini memperkasakan komuniti dan ahli projek untuk menyumbang maklumat tempatan yang tepat ke ruang digital global. Hasilnya, jumlah foto di bawah kategori Bukit Kepong dalam Wikimedia Commons telah meningkat secara drastik daripada 10 keping kepada 167 keping foto.

Penerimaan dua anugerah tersebut mengesahkan komitmen projek terhadap penyelidikan berimpak dan penglibatan komuniti, sekali gus membuktikan keberkesanan integrasi antara usaha akademik dan gerakan akar umbi.

JoMBuKe berhasrat untuk meletakkan Bukit Kepong pada persada yang sewajarnya tanpa hanya menyandarkannya kepada tragedi semata-mata. Projek ini menjadi contoh bagaimana naratif tempatan yang didokumentasikan dengan teliti mampu membuka minda masyarakat terhadap keindahan tulen Bukit Kepong—selari dengan seruan namanya, JoMBuKe.